Lebih 3,000 individu beri reaksi positif Laporan EIA PSI

Lebih 3,000 individu beri reaksi positif Laporan EIA PSI

PETALING JAYA: Lebih 3,000 individu memberi reaksi positif terhadap Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diberikan kepada projek tambak laut Penang South Island (PSI). 

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, laporan EIA projek itu diluluskan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala kelulusan projek adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri. 

Malah, katanya, JAS sudah membuat penilaian dari segi impak alam sekitar (magnitud dan tahap signifikannya) serta cadangan langkah-langkah mitigasi dan kawalan pencemaran dengan mengambil kira semua input daripada panel penilai dan orang awam supaya projek itu mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di Pulau Pinang.

“Laporan EIA bertarikh 29 April 2022 tersebut telah dipamerkan untuk ulasan awam bermula 20 Mei hingga 18 Jun 2022 secara hibrid. Pameran secara fizikal diadakan di empat pejabat utama iaitu Perpustakaan JAS Ibu Pejabat, JAS Pulau Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Permatang Damar Laut. 

“Pameran Laporan EIA juga dilaksanakan secara online di FB, Instagram, laman web dan Environmental Knowledge Management Center (EKMC) JAS.

“Hasil daripada pameran awam tersebut, 3,464 ulasan awam telah direkodkan dan 93 peratus daripada responden tersebut memberikan ulasan yang positif seperti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, pembangunan ekonomi dan faedah kepada nelayan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek PSI yang bernilai RM11 bilion membabitkan penambakan laut secara besar-besaran termasuk pembinaan tiga pulau buatan manusia mendapat kelulusan Laporan EIA. 

Bagaimanapun, projek berkenaan yang dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini mencetuskan pertikaian ramai pihak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan persatuan nelayan dilaporkan kecewa dengan kelulusan itu serta akan mengemukakan rayuan kepada JAS. 

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, JAS turut mengarahkan penggerak projek untuk melaksanakan pameran awam kali kedua semasa penerimaan Laporan EIA  iaitu bagi tempoh 21 November 2022 sehingga 4 Januari lepas. 

Katanya, sebanyak 799 ulasan orang awam telah diterima sepanjang tempoh pameran awam tersebut dan 73.7 peratus daripada responden yang diterima memberi ulasan yang positif terhadap cadangan pembangunan projek tersebut.

“JAS telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal iaitu Technical Review Comittee (EIATRC) bagi mengkaji dan membincangkan Laporan EIA tersebut pada 28 Jun 2022, 4 Oktober 2022, 15 Disember 2022 dan 21 Mac 2023 yang dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, agensi-agensi kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan, pakar-pakar iaitu individu dilantik mengikut bidang kepakaran masing-masing dan jururunding EIA.

“Surat kelulusan Laporan EIA bagi cadangan projek tersebut telah ditandatangani pada 11 April 2023 beserta dengan 71 Syarat-syarat Kelulusan Laporan EIA yang perlu dipatuhi oleh Penggerak Projek. 

“Setelah projek diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (agensi pelulus projek), pelaksanaan projek tidak boleh dimulakan di tapak sehingga Penggerak Projek menyediakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan dipersetujui olen JAS terlebih dahulu. 

“JAS juga telah menarik perhatian pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memastikan pelaksana projek memberi perhatian serius terhadap residual impact dan melaksanakan semua langkah mitigasi dan kawalan pencemaran tanpa gagal dengan nasihat teknikal jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top