hifzuddin@bh.com.my
Bukit Kayu Hitam: Kerajaan mengakui berhadapan kekangan untuk melaksanakan pembinaan pagar baharu di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kedah dan Perlis berikutan jaraknya terlalu panjang.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berikutan itu pihaknya sedang meneroka penggunaan kaedah berteraskan teknologi dan inovasi termasuk penggunaan dron serta Kecerdasan Buatan (AI) dalam penugasan pihak berkuasa di sempadan.
Jelasnya, aspek kawalan keselamatan sempadan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada isu pagar sahaja kerana ia turut membabitkan beberapa aspek lain selain kehadiran fizikal anggota keselamatan.
“Saya sendiri turun dan lihat tahap pagar sempadan kita di Padang Besar, Perlis. Dalam aspek kawalan sempadan, bukan pagar sahaja, kita juga lihat peluang penggunaan dron dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik.
“Kita perlu teroka kaedah ini kerana kos penyelenggaraan pagar sedia ada sangat tinggi kerana meliputi jajaran kawasan yang sangat luas.
“Disebabkan itu ada kekangan dari sudut mengusahakan semula pembinaan pagar baharu, kita harus lihat pagar sedia ada yang wajar diselenggara seadanya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Markas Taktikal (MARTAK) Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali dan Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Sebelum ini, kerajaan pernah mengumumkan mahu mengkaji kemungkinan membina pagar baharu di sempadan Malaysia -Thailand sebagi menggantikan infrastruktur sedia ada yang berada dalam keadaan uzur serta rosak.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan cenderung dalam penggunaan teknologi kerana ia didapati mampu membantu pasukan keselamatan dalam menangani kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Katanya, kerjasama antara kerajaan juga diperlukan kerana Malaysia secara bersendirian tidak mampu mengekang kegiatan berkenaan tanpa bantuan pihak berkuasa Thailand.
“Saya sendiri berharap kita dapat tingkatkan bilangan CCTV di lokasi strategik sepanjang sempadan kerana ia akan membantu pihak polis terutama anggota PGA selaku barisan hadapan.
“Penggunaan CCTV dapat catat sebarang bentuk perkara mencurigakan, rakaman itu menjadi maklumat sangat bernilai kepada pihak berkuasa dalam merancang aspek kawalan sempadan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd