Ahmad Razif mahu kukuhkan ukhuwah

Ahmad Razif mahu kukuhkan ukhuwah

KUALA NERUS: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman yang melakukan kemunculan semula selepas memenangi Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus pada pemilihan lalu bertekad mahu memperkukuh ukhuwah dalam barisan kepimpinan parti di bahagian itu 

Menurutnya, beliau akan menggerakkan segera kepimpinan parti di bahagian itu dengan  merapatkan hubungan antara mereka dalam usaha mengembalikan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini tidak lama lagi.

Malah katanya, pemimpin-pemimpin UMNO yang kalah dalam pemilihan bahagian itu sebelum ini juga tidak diketepikan, sebaliknya peranan mereka tetap diperlukan pihak parti.

“Kita guna konsep musyawarah dalam kalangan pemimpin bagi mengukukkan kedudukan parti menjelang PRN.

“Saya harap mereka yang  kalah dan menang dalam pemilihan bahagian itu tetap sama-sama membantu parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kurma kepada kepimpinan peringkat sayap peringkat UMNO Bahagian Kuala Nerus di Batu Enam, di sini, hari ini.

Ahmad Razif yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berjaya melakukan kemunculan selepas mengalahkan penyandang Ketua UMNO Bahagian itu, Apli Yusoff pada pemilihan parti bahagian itu Sabtu lalu.

Beliau pernah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian itu dari tahun 2013  hingga 2018.

Ahmad Razif berkata, beliau yang kembali memenangi jawatan tersebut mengakui tugas yang diamanahkan pada sesi 2013-2016 ini cukup mencabar selepas prestasi UMNO agak  lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengajak  seluruh ahli dan pemimpin UMNO  di bahagian itu tanpa mengira kedudukan dapat kembali bersatu untuk memperkemaskan semula kekuatan parti.

“UMNO Bahagian Kuala Nerus juga mengatur strategi melibatkan sayap-sayap UMNO sebagai persediaan awal menghadapi PRN,’ ujarnya.-utusan

 

Scroll to Top