Mushaf Terengganu diwartakan sebagaai warisan kebangsaan

Mushaf Terengganu diwartakan sebagaai warisan kebangsaan

KUALA LUMPUR – Empat Mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) diwartakan sebagai warisan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645).

Menurut Naib Canselor UMT Profesor Datuk` Dr. Mazlan Abd Ghaffar, usaha pewartaan ini telah mula digerakkan pada tahun 2020 oleh penyelidik UMT yang diketuai oleh Dr. Riswadi Azmi, Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud.

Tambahnya pengetahuan umum mengenai keunikan warisan kesultanan Terengganu ini perlu dihebahkan kepada masyarakat dan pewartaan empat Mushaf al-Quran sebagai warisan ini juga bertujuan agar usaha pemuliharan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan demi kelestarian warisan
budaya negara.

Untuk rekod, kajian UMT telah merekodkan 45 manuskrip ini berada dalam dan luar negara.

Jumlahnya yang banyak melebihi daripada apa yang dijangkakan kerana untuk menghasilkan satu-satu manuskrip tulisan tangan pada abad ke 19 ini memerlukan tuntutan masa, tenaga dan kos yang tinggi sekaligus membuktikan negeri Terengganu pernah menjadi pusat penyalinan mushaf al-Qur’an yang paling terkemuka dan terkenal di Asia Tenggara.

UMT dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah melakukan pelbagai inisiatif demi memastikan warisan ini sentiasa dihargai dan dipelihara.

Selain itu, demi memastikan warisan suci ini dihargai di peringkat global, cadangan UMT telah diterima sebagai senarai akhir negara oleh Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkannya dalam daftar Peringatan Dunia UNESCO.

Menurutnya, pelbagai usaha akan dilakukan agar percalonan diterima diperingkat UNESCO.

UMT turut menjalin kerjasama dengan penyelidik dari pelbagai agensi dalam dan luar negara terutamanya daripada Dato Dr Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator Seksyen Asia Tenggara, British Library dalam konservasi manuskrip al-Quran Terenganu.

Tambahnya lagi, usaha ini turut disokong oleh Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd bagi membangunkan Galeri Digital Warisan Budaya.

Sehubungan itu, UMT telah berjaya mendigitalkan enam Manuskrip Al-Quran Terengganu yang disimpan oleh pihak muzium menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality) dan menempatkannya di dalam Galeri Digital Warisan Budaya UMT.

“Dengan adanya galeri ini, ianya bakal menjadi tumpuan penyelidik dan pelajar untuk mengkaji keunikan Manuskrip al-Quran Emas, warisan Kesultanan Terengganu yang diiktiraf paling cantik di Asia Tenggara.

Inisiatif ini telah memartabatkan mushaf al-Quran ke peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

Scroll to Top