Selepas sebulan tampil dengan buku bertajuk ‘Script : For A Better Malaysia’, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan karya penulisan ‘Membangun Negara Madani’.
Memetik laporan Selangorkini, buku itu sepatutnya menjadi bahan bacaan, diulas serta dibincang berbanding maki hamun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Presiden PKR itu berkata, penulisan buku tersebut diilhamkan daripada pengalaman politik, kegiatan dakwah dan pembacaan ribuan buku tentang negara dan wawasan.
“Saya tidak mahu terikat dengan parti dan tokoh sahaja tetapi mahu soal dasar juga. Kita hanya berbicara soal wakil rakyat dan perdana menteri…
“…tetapi apa rencana dan kerangka besar pemikiran, itu disebut dalam buku ini. Buku ini boleh dijadikan tajuk perbincangan kerana melihat dasar, isu kemampanan ekonomi dan ihsan.
“Semua ini perlukan sifat penyayang dalam Malaysia dan mempertahan nilai akhlak yang menjadi teras dalam fahaman Islam dan didukung agama lain.
“Kalau nak setuju dan kritik boleh dalam perbahasan yang lebih teratur serta sopan,” kata pemimpin berusia 75 tahun itu.
Bagaimanapun, terdapat segelintir warganet seolah-olah kurang berpuas hati sekali gus mengkritik beliau berhubung pelancaran buku berkenaan.
Meninjau komen di laman Facebook, beberapa individu dilihat mempertikaikan kewibawaan calon Perdana Menteri ke-10 itu dengan mengaitkan janji dalam manifesto bagi PRU sebelum ini.
Bagaimanapun difahamkan, ‘Membangun Negara Madani’ adalah penterjemahan daripada ‘Script : For A Better Malaysia’ yang sebelum ini ditulis dalam bahasa Inggeris.
Sumber: Selangorkini (Siti Rohaizah Zainal) , Facebook Malaysia Gazette (1) & (2)