KPJ Johor wujud kumpulan sokongan pesakit kanser

KPJ Johor wujud kumpulan sokongan pesakit kanser

JOHOR BAHRU – Hospital Pakar KPJ Johor melancarkan kumpulan sokongan pesakit kanser yang dikenali “Johor Specialist Support Group” (JSSG) sebagai inisiatif membantu dan memberi motivasi kepada pesakitnya.

Inisiatif ini menjadikan KPJ Johor sebagai hospital swasta pertama di negeri ini yang memiliki kumpulan sokongan khas kepada pesakit kanser.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Haliza Khalid di samping membantu pesakit dari segi sokongan emosi dan sosial, kumpulan sokongan ini juga dapat bertindak membantu pesakit dari segi menyampaikan maklumat dan pendidikan mengenai kanser.

“Bila kita mendengar berita mengenai orang yang anda sayangi menghidapi kanser merupakan satu pengalaman yang sangat tertekan dan boleh mengakibatkan pesakit dan ahli keluarga terdekat dalam kemurungan.

“Sokongan dari ahli keluarga mungkin tidak mencukupi, oleh sebab itu KPJ Johor telah mewujudkan JSSG bagi membantu pesakit kanser mengatasi trauma dan menyediakan maklumat, motivasi serta bimbingan yang selamat untuk pesakit.

“Kumpulan sokongan ini diketuai oleh Ketua Unit Pakar Radioterapi dan Onkologi Dr Natasha Hashim disokong oleh 2 pakar onkologi yang lain iaitu Dr Lum Wan Heng dan Dr Lim Chun sen selain turut disertai oleh anggota pekerja di Unit Onkologi serta bekas pesakit kanser,” katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.

Dikatakan tiga jenis kanser yang paling kerap dihidapi dalam kalangan wanita ialah kanser payu dara, kanser ovari dan kanser servik.

“Justeru itu, KPJ mengalakkan lebih ramai untuk membuat saringan awal pemeriksaan kesihatan berkaitan kanser sekaligus mampu menyelamatkan nyawa dan mendapatkan rawatan lebih berkesan,”katanya.

Majlis pelancaran pagi itu disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN Negeri Johor, Dr Salmi Jalina Jalil di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru.

Sementara itu, Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payu Dara, KPJ Johor turut menganjurkan Larian JSH Pinktober 2022 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Lebih 600 orang menyertai larian berkenaan dari peringkat umur bermula 15 tahun dan keatas sebagai tanda sokongan kepada pejuang-pejuang pesakit kanser. Setiap peserta perlu berlari sepanjang 7 kilometer dan memenangi hadiah wang tunai serta medal.

Program ini yang menerima penyertaan amat mengalakkan diharapkan akan memberikan ilmu yang bermanfaat tentang kesihatan diri khususnya kesihatan payu dara dan seterusnya tampil untuk melakukan saringan kesihatan payudara secara berkala.-MalaysiaGazette

Scroll to Top