Kontinjen Kuala Lumpur sasar lima terbaik Para Sukma 2022

Kontinjen Kuala Lumpur sasar lima terbaik Para Sukma 2022

Mohd Yazid ketika sidang media pada mesyuarat pendaftaran Delegasi Sukan Para Sukma 2022 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Jumaat. – Foto Bernama

KONTINJEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyasarkan untuk mengutip 25 emas dan menamatkan saingan pada tempat kelima semasa temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 dijadual bermula Selasa depan.

Ketua penyelaras kontinjen, Mohd Faidurrida Yusoff berkata, sasaran diletakkan kepada 95 atlet itu, sekali gus dijangka dapat memperbaiki pencapaian dilakar pasukan warga kota yang menduduki tempat ketujuh daripada keseluruhan 15 negeri dengan membawa pulang 19 emas, 25 perak dan 21 gangsa pada edisi 2018 di Perak.

ā€œAntara sukan yang dijangka menjadi lubuk pingat kami kali ini ialah olahraga, badminton dan boling,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pendaftaran delegasi (DRM) Para Sukma pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Faidurrida memaklumkan, tiga atlet iaitu dua melibatkan sukan boling dan seorang perenang yang tergolong dalam kategori kurang upaya intelektual digugurkan daripada menyertai Para Sukma selepas melebihi tahap kecerdasan dalam ujian saringan klasifikasi dilaksana penganjur sebelum ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat atlet daripada kategori kurang upaya fizikal dan kerosakan visual digugurkan apabila mereka dijangka menjalani ujian serupa pada Ahad dan Isnin ini.

Terdahulu, ketua sekretariat temasya Mohd Yazid Shoib dalam satu sidang media berkata, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sudah bersedia 100 peratus untuk menganjurkan Para Sukma.

Walaupun atlet yang pernah mewakili negara di Sukan Paralimpik tidak dibenarkan bertanding, beliau berkata, temasya Para Sukma akan tetap meriah dengan penyertaan atlet yang pernah mewakili Sukan Para Asia dan Sukan Para ASEAN.

Menyentuh mengenai DRM, Mohd Yazid berkata, mesyuarat diadakan buat julung-julung kali itu bertujuan memberikan panduan kepada kontinjen negeri untuk mengesahkan pendaftaran, penginapan, pengangkutan serta urusan akreditasi atlet dan pegawai terlibat.

Beliau pada masa sama memberitahu, sebanyak 30 ujian doping dijalankan secara rawak oleh Agensi Anti-Doping Malaysia bagi mengenal pasti bahan terlarang diguna atlet dalam temasya sukan itu.

Sebanyak 10 jenis sukan dan 294 acara dipertandingkan dalam Para Sukma 2022 yang berlangsung di sekitar Lembah Klang hingga 6 November ini. – Bernama

Scroll to Top