PETALING JAYA: Ahli buruan dalam perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa mempunyai kawalan terhadap aset sebanyak AS$333 juta (RM1.6 bilion) menerusi syarikat British Virgin Islands yang mempunyai pejabat di Shanghai.
Menurut pengarang buku mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bradley Hope, Jinweijing Consulting baru-baru ini menukar pemilikan daripada JynWel, iaitu syarikat induk milik keluarga Jho Low, kepada entiti lain yang dikenali sebagai Grace Zenith Limited.
Hope berkata, Jinweijing dibangunkan oleh Jho Low dan rakan perniagaannya, Seet Li Lin pada 2015 dan mempunyai pejabat di Pusat Kewangan Dunia Shanghai.
Syarikat itu kemudian menukar namanya kepada Guiyue Business Consulting, dengan nama Jho Low dan Seet dikeluarkan daripada rekod.
Beliau mendakwa, pemilik baharu Guiyue, Grace Zenith, membayar modal langgan sebanyak AS$333 juta untuk ditempatkan dalam syarikat tersebut.
“Keadaan itu menunjukkan syarikat tersebut menjadi satu daripada tempat Jho Low meletakkan duit 1MDB,” katanya dalam program ‘Di mana Jho Low?’.
Selain itu, Hope turut mempersoalkan apa perniagaan sebenar Grace Zenith dan aset lain yang mungkin dimilikinya, selain memaklumkan syarikat itu masih beroperasi.
“Anda mungkin fikir dengan (adanya) penjenayah kewangan yang begitu terkenal, dunia akan sentiasa berwaspada terhadap sebarang potensi penyalahgunaan sistem kewangan global.
“Ia secara tidak langsung menunjukkan, jika anda mempunyai duit yang banyak dan anda mengubahnya secara haram pada peringkat tinggi, tiada siapa boleh ‘sentuh’ anda,” katanya.
Buku yang ditulis Hope, ‘The Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World’, yang ditulisnya bersama Tom Wright, mengisahkan skandal rasuah 1MDB, dengan menggambar Jho Low sebagai dalang.