“Isteri sangat manja”- Pakar saham akui bahagia berkahwin dengan pelajar sendiri

“Isteri sangat manja”- Pakar saham akui bahagia berkahwin dengan pelajar sendiri

Pakar Pelaburan Saham, Pengurus Kewangan Bertauliah dan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan, 47, akhirnya selamat bernikah bersama pilihan hati,  Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 25 pada Jumaat lalu.

Nazri yang dikenali dengan tagline ‘Tak Handsome Takpe, Janji Kaya’ dalam kalangan ramai, majlis perkahwinannya telah diadakan di sebuah hotel Kuala Lumpur yang turut dihadiri selebriti-selebriti terkenal tanah air, semalam.

 

Ujar Nazri, dia mengakui tidak mudah untuk menambat hati wanita yang dicintainya itu dan meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya telah berjalan dengan lancar.

“Beza umur kami 22 tahun. Bukan mudah nak tawan hatinya. Tapi Alhamdulillah kami selamat bernikah pada Jumaat. Sebenarnya hari ini (kelmarin) genap setahun kami berkenalan,” katanya.

Menceritakan kembali momen perkenalannya bersama Ernie, dia memaklumkan mula berkenalan dengan Ernie ketika memberi ceramah di sebuah universiti dan serius menjalinkan hubungan sejak Februari lalu selepas berjumpa dengan keluarga isterinya.

“Kami berkenalan ketika saya menyampaikan satu ‘talk’ di sebuah universiti. Asalnya saya mengajar saham. Tapi apabila dah lama kenal, saya jumpa keluarganya.
Kiranya, jumpa September tahun lalu dan Februari kami mulai serius. Jadi, lebih kurang tujuh bulan saja perhubungan kami sebelum ambil keputusan berkahwin,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, dia mendedahkan Ernie adalah seorang wanita yang mudah dibentuk dan jatuh cinta apabila melihat kepada keperibadian yang dimilikinya.

Tambahnya lagi, perbezaan umur 22 tahun bukanlah satu penghalang buat mereka untuk menjalin keserasian bersama dan mengakui pemikiran isterinya itu tidak sama seperti golongan muda yang lain.

“Isteri sangat manja, dia pelajar, dengar cakap dan mudah dibentuk. Jadi saya rasa macam ada satu pengecualian dalam hidup saya sebagai orang korporat. Apabila jumpa dia, kami tak bincang mengenai dunia korporat. Jadi, ia lain daripada kehidupan saya.
“Pada mula saya tengok dia, saya suka dia sebab kelembutan dimiliki dan dia manja. Kami macam ada keserasian terus dan tak rasa saya ni macam orang tua. Bagi saya, beza umur ni tak ada masalah dari awal berkenalan,” ujarnya.

Difahamkan juga, ini merupakan perkahwinannya yang kedua selepas setahun bercerai daripada mahligai yang dibina sebelum ini bersama bekas isteri pertama.

Sumber: Harian Metro (Sudirman Mohd Tahir)

Scroll to Top