Hannibal Mejbri dipinjam ke Birmingham City

Hannibal Mejbri dipinjam ke Birmingham City

LONDON – Birmingham City FC secara rasminya berjaya mendapatkan pemain muda Manchester United, Hannibal Mejbri secara pinjaman hingga akhir musim.

Pemain remaja Tunisia itu yang telah melakukan tiga penampilan bersama skuad senior sejak penghujung musim 2020-21, merupakan pemain terbaru akan meninggalkan Old Trafford buat sementara waktu.

Mejbri akan mengikut jejak penjaga gol, Dean Henderson dan dua pemain pertahanan, Alex Telles dan Eric Bailly yang dipinjamkan ke pasukan lain.

Perpindahan itu dilihat akan membantu pemain berusia 19 tahun tersebut memperkukuhkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan Tunisia menjelang Piala Dunia Qatar hujung tahun ini.

Setakat ini, dia telah mengumpulkan 16 penampilan antarabangsa menjelang temasya bola sepak terbesar itu.

Pada masa sama, Birmingham yang beraksi dalam Liga Kejuaraan juga dijangka mendapatkan seorang lagi pemain muda United, Tahith Chong.

United dan Birmingham kini sedang melakukan rundingan untuk memuktamadkan perjanjian perpindahan itu.

Chong dijangka menyertai Birmingham secara tetap namun United menegaskan mereka tidak akan melepaskan pertahanan kanan, Aaron Wan-Bissaka meskipun terdapat beberapa tawaran daripada kelab Liga perdana inggeris.

Ini kerana musim perpindahan akan tamat dalam beberapa hari lagi dan United berpendapat akan mengalami kesukaran untuk mencari pengganti pemain tersebut. – MalaysiaGazette

Scroll to Top