BERGELAR sebagai seorang penerima Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) umpama rezeki yang mesti digenggam dan dimanfaatkan sebaik mungkin kerana bukan mudah untuk menjadi antara penerima biasiswa itu.
Seseorang itu bukan sahaja perlu cemerlang dari segi akademik, malah beberapa aspek lain turut diambil kira termasuk kepimpinan, pembabitan dalam kokurikulum dan beberapa pencapaian lain sebelum membolehkan mereka dianugerahkan dengan tajaan pendidikan PESP.
Turut berkongsi pengalamannya sebagai antara penerima PESP ialah Annie Lin Lee Joo, 22, yang kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di University of Manchester, United Kingdom.
Menurut Annie yang juga anak kelahiran Tawau, Sabah, tawaran PESP ibarat langkah kanan untuk beliau melanjutkan pengajian ke peringkat siswazah sekali gus merealisasikan impiannya untuk belajar di luar negara sejak kecil.
“Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya membuat carian di internet mengenai organisasi yang menawarkan biasiswa kepada pelajar lepasan SPM dan akhirnya menemui PESP sebagai salah satu daripadanya,” katanya.
Bapanya, Lin Hyen Thau, 76 yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan bersama isteri, Maria Panggala, 54 turut meluahkan rasa syukur serta berbesar hati dengan biasiswa yang diberikan kepada anak meraka.
“Kami sangat gembira dan bersyukur atas rezeki yang diberikan kepada anak kami, Annie. Setahu kami, bukan mudah dan tidak semua pelajar mendapat peluang untuk menerima tajaan PETRONAS.
“Apabila mendengar dia terpilih untuk menerima tajaan berkenaan, kami berterima kasih atas kesempatan yang diberikan oleh pihak PETRONAS yang membolehkan anak kami menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara.
“Kami juga bangga dengan pencapaian diperolehi atas hasil usahanya selama ini kerana dia selalu mencuba yang terbaik dalam setiap perkara dilakukan. Kami percaya dengan peluang ini, Annie dapat mengembangkan bakat serta jati diri untuk mencapai impiannya,” kata Lin.
Sementara itu, Annie tidak lokek berkongsi mengenai program ini yang menawarkan tajaan penuh untuk membiayai pelajarannya bermula daripada peringkat A-Level hingga peringkat Ijazah serta menawarkan program pembangunan keupayaan untuk pelajar secara komprehensif.
“Setelah tamat SPM, saya mengambil A-Level di Kolej Yayasan UEM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan di University of Manchester, United Kingdom,” katanya.
Kini, beliau telah tamat tahun kedua dan akan memasuki tahun ketiga tidak lama lagi.
Ditanya mengenai pengalaman belajar di luar negara, Annie berkata, pengalaman tahun pertama pengajian agak berbeza berbanding pelajar sebelumnya kerana terpaksa berdepan dengan ancaman COVID-19.
“Saya perlu belajar secara dalam talian dan pergerakan untuk ke luar rumah juga terhad. Di tahun kedua baru saya dapat menghadiri kelas secara fizikal dan berkomunikasi dengan kawan baharu di samping mengenali budaya mereka dengan lebih mendalam,” katanya.
“Selain itu, saya banyak menyesuaikan diri dengan budaya luar malah saya dapat bertemu dengan rakan baharu dari seluruh dunia seterusnya dapat mempelajari budaya dan tradisi mereka” katanya.
Ringankan beban keluarga
Berpegang kepada prinsip ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’, seorang lagi pelajar tajaan PESP, Nur Amirah Mamat, 23, tekad mengejar impiannya dengan sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi bagi diri sendiri dan berusaha gigih untuk mencapainya.
Menurut Amirah, melihat dirinya membesar dalam keadaan keluarga kurang berkemampuan dengan bilangan adik beradik yang ramai membuatkan beliau tekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membalas jasa kedua ibu bapanya.
“Demi meringankan beban keluarga dan melayakkan diri saya untuk mendapat biasiswa, saya berusaha lebih gigih dalam pelajaran saya.
“Alhamdulillah, berkat usaha, sokongan dan doa daripada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan, saya berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan mendapat tajaan PETRONAS untuk melanjutkan pelajaran di Australia,” katanya.
Dalam pada itu, Amirah menyatakan beliau sangat gembira dan bersyukur kerana ini adalah satu peluang yang sangat baik untuk mencapai impiannya selama ini.
Menurut Amirah, ibunya, Ruhana binti Ismail, 50 turut teruja dan berkongsi berita gembira ini dengan keluarga besarnya yang lain.
“Mereka sangat teruja dan bangga dengan pencapaian diri saya kerana saya adalah satu-satunya ahli keluarga yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara di bawah tajaan PETRONAS,” katanya.
Amirah yang juga anak jati Terengganu, kini bertungkus lumus menamatkan pengajian tahun akhir kejuruteraan kimia di University of Sydney.
Berkongsi lanjut mengenai PESP, Amirah berkata PESP bukan sahaja membiayai pengajian tetapi turut menyediakan platform dan berbagai program untuk mempersiapkan diri pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan.
“Ini termasuklah program jati diri, sesi perkongsian bersama alumni PESP dan taklimat kerjaya.
“Tidak cukup dengan itu, setiap tahun PETRONAS akan mengadakan sesi perjumpaan dengan pelajar tajaannya bagi mengikuti perkembangan semasa dan berkongsi maklumat mengenai laluan kerjaya bersama PETRONAS kelak.
“Dengan adanya program sebegini, saya sedikit sebanyak dapat mencorak hala tuju saya selepas tamat belajar di universiti,” katanya.
Sementara itu, Amirah turut memuji peranan pegawai PESP yang sangat mesra dan prihatin terhadap pelajar di luar negara.
“Mereka sentiasa bertanya khabar tentang situasi semasa pelajar di sini terutama ketika negara dilanda banjir dan COVID-19. Selain itu, mereka juga kerap menghubungi pelajar melalui e-mel untuk menilai tahap kesihatan mental pelajar di sini dan menyediakan perkhidmatan kaunseling sekiranya diperlukan,” katanya.
Komitmen PETRONAS
Sejak 1975, PETRONAS menganugerahkan tajaan pendidikan kepada lebih 37,000 pelajar yang layak dengan pencapaian akademik dan keupayaan kepimpinan yang tinggi.
Komitmen PETRONAS untuk berbakti kepada negara bukan sekadar dalam bentuk sumbangan kewangan semata-mata, malah juga merentasi pelbagai perkara demi manfaat kepada masyarakat, termasuk peluang pendidikan dan pekerjaan dan pembangunan industri sampingan.
PETRONAS terus komited menyumbang kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan sebagai teras utama, dengan mengambil kira keterangkuman jantina bagi membuka peluang yang seimbang untuk generasi kini dan akan datang.
Sesiapa sahaja yang menepati kriteria di lokasi PETRONAS beroperasi berpeluang menerima manfaat daripada sumbangan yang diberikan dan tidak hanya terhad kepada rakyat tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd