Pelakon kian meningkat nama, Anna Jobling mengakui terkejut selepas tercalon dalam senarai 100 Wajah Tercantik 2022 (100 Most Beautiful Faces of 2022) oleh TC Candler.
Menurut laporan Harian Metro, dia yang menjadi satu-satunya artis Malaysia tercalon menyifatkan pengiktirafan peringkat dunia itu cukup besar apatah lagi dibariskan dengan calon hebat lain.
“Saya sangat bersyukur dicalonkan dalam kategori ini. Memang terkejut dan tak sangka diiktiraf 100 yang memiliki wajah jelita bukan di Malaysia saja, tapi dunia.
“Terima kasih sangat-sangat,” kata pelakon berusia 22 tahun itu.
Mengulas lanjut, pelakon kacukan Melayu, Inggeris dan Portugis itu mempunyai pengertian sendiri bagi menjelaskan tentang konsep kecantikan.
“Mungkin orang akan cakap cantik itu dari luaran tapi ia sangat subjektif. Walaupun klise tapi bagi saya kecantikan itu datang dari dalaman seseorang.
“Kalau ada sikap terpuji, karakter baik, secara automatik akan menjadikan seseorang cantik di luaran serta dalaman.
“Tak kisah paras rupa macamana, tapi kalau sayang diri, yakin, secara langsung akan cantik dari segala segi,” ujarnya.
Pelakon Melur Untuk Firdaus itu tercalon bersama anggota BLACKPINK iaitu Jisoo (Korea Selatan), Ylona Garcia (Filipina), Camilla Belle (Amerika Syarikat), Kiko Chan (Vietnam) dan ramai lagi.
Sumber: Harian Metro (Georgie Joseph) , Instagram Anna Jobling