Selebriti dan usahawan popular tanah air, Neelofa mengulas berhubung produk inai dijualnya yang mendapat kritikan segelintir pengguna sehingga warna kuku dilabel seperti ‘tersepit pintu neraka’.
Menurut laporan Getaran, selebriti berusia 33 tahun itu berkata, inai di bawah jenama NunHa itu tidak dicampur dengan sebarang warna tiruan sebaliknya warna adalah bersifat asli.
“Perkara pertama yang saya titikberatkan sebelum mengeluarkan inai ini ialah saya tidak mahu ia mempunyai sebarang kandungan bahan kimia, pewarna makanan…
“…atau bahan pelik agar warnanya cepat resap dan sebagainya. Berpuluh sampel yang diberikan. Ada yang dua tona, yang boleh keluar warna, tak keluar warna, warna merah serta warna maroon.
“Akhirnya mereka bawa serbuk inai kepada saya. Perancangan awal bukan untuk jual serbuk pun,” katanya.
Bekas pengacara MeleTOP itu berkata, serbuk inai berkenaan melalui beberapa proses penapisan sebelum ‘diluluskan’ untuk dijual kepada pelanggan.
“Ketika itu saya kata, apa kata kita jual yang serbuk ni dan biar pembeli bancuh sendiri. Kerana serbuk ini adalah serbuk inai asli yang telah ditapis sebanyak sembilan kali.
“Kalau kita buat inai sendiri dan kita tumbuk lumat-lumat, warnanya lebih cantikkan? Sama dengan inai saya ini…
“…sebab ia adalah sejenis super fine powder. Sebab itu, warna dia boleh jadi terang dan gelap,” ujarnya lagi.
Selain Neelofa, pelakon Rozita Che Wan turut mengeluarkan jenama inai sendiri sekali gus menyebabkan segelintir netizen mula bertelagah serta membuat perbandingan antara kedua-dua produk tersebut.