PETALING JAYA: Pemantauan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendapati, kesesakan lalu lintas kerap berlaku di plaza-plaza tol dan kawasan mendaki.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, JSPT telah melancarkan Op Lancar sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jumaat lalu dan berakhir esok.
Kata beliau, pengguna jalan raya di suruh negara dijangka pulang ke ibu kota bermula esok.
“Justeru, pengguna jalan raya dinasihat mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan lebuh raya dan cadangan waktu pergerakan yang diberi oleh konsesi lebuh raya sebelum membuat pergerakan.
“Semasa pulang ke ibu kota, orang ramai juga diingatkan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri, ahli keluarga serra pengguna lebuh raya lain,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kata beliau, polis komited dalam penugasan Op Lancar demi memastikan keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas. – UTUSAN