Ahmad Faizal nafi mesyuarat MPT Bersatu bincang kedudukan Ismail Sabri

Ahmad Faizal nafi mesyuarat MPT Bersatu bincang kedudukan Ismail Sabri

IPOH: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 8 Jun lalu tidak membincangkan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri seperti yang didakwa.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,  parti hanya membincangkan mengenai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, selain itu, parti juga membincangkan tentang masalah kos sara hidup, masalah harga makanan yang tinggi dan mencari jalan bagi membantu kerajaan menangani masalah rakyat.

“Kami (Bersatu) tak ada bincang tentang kedudukan Perdana Menteri, kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan kami mahukan satu kerajaan yang stabil.

“Kerajaan yang boleh memberi fokus kepada masalah rakyat bukannya kepada masalah peribadi, bukan kepada masalah politik tapi masalah rakyat diutamakan, itu yang kami bincangkan.

“Kalau ada ura-ura berkenaan perbincangan lain, itu bohong, Bersatu tak bincang tentang politik, Bersatu fikir masalah rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada perasmian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta dekat sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan mesyuarat MPT Bersatu pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Sumber mendedahkan,  perkara itu antara dua cadangan yang didakwa dinyatakan sendiri oleh kalangan pemimpin  parti tersebut dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, jika boleh Bersatu mahu bincang sekarang kedudukan Ismail Sabri kerana jika Bersatu  dapat sokongan daripada Parti  Pejuang Tanah Air (Pejuang),  Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH),  ini menyebabkan kerajaan Ismail Sabri boleh bertukar tanpa diadakan pilihan raya. 

Bagaimana caranya tidak disebut, tetapi jika dikira secara logik, caranya adalah dengan menarik sokongan. –UTUSAN ONLINE 

 

 

Scroll to Top