Berpenat lelah untuk keluarga

Berpenat lelah untuk keluarga

SESEORANG yang sibuk bekerja, membina keluarga yang berjaya dan memenuhi keperluan masyarakat pastinya akan merasa sibuk, penat dan berkeinginan untuk berehat panjang. 

Mungkin akan timbul dalam diri, “Kenapalah aku perlu bersusah-payah harini, bukannya ada hasil pun.” Namun, sebenarnya dalam hidup ini tidak akan ada kenikmatan kecuali selepas kepayahan atau kepenatan.

Negara kita dahulu tidak akan merdeka jika dahulu tidak ada sesiapa yang sanggup berkorban untuk menuntut kemerdekaan. Islam tidak akan tersebar, andai para ulamak terdahulu tidak sanggup bersusah payah menyampaikannya.

Begitu juga anak-anak kita, tidak akan berjaya jika kita tidak mendidiknya dan menjaganya dengan ilmu dan adab. Mungkin hari ini kita tidak jelas akan halatuju mereka, namun apabila mereka sudah meningkat dewasa dan menjadi ‘orang’, barulah kira merasa betapa tidak sia-sia penat lelah yang telah diusahakan dahulu.

Advertisement

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W turut menegaskan bahawa duit untuk menyara keluarga adalah sebaik-baik nafkah di jalan Allah. Sabda Rasulullah S.A.W:

أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ

“Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya.”

(Riwayat Muslim (994))

Kesungguhan kita yang bekerja pagi dan petang bagi menyara keluarga adalah satu kepenatan yang disukai oleh Allah S.W.T. Setiap titik peluh yang tumpah, adalah suatu pelaburan di masa akan datang. Janganlah merasa lelah dan hadapilah dengan sabar. Yakinlah bahawa akan ada kemanisan dan hikmah di sebaliknya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 31/5/2022

Scroll to Top