Unit berkuda, K9 jaga sempadan Kelantan-Thailand

Unit berkuda, K9 jaga sempadan Kelantan-Thailand

KOTA BHARU: Polis Kelantan meningkatkan kawalan dengan menempatkan Unit Berkuda dan Unit Anjing Pengesan (K9) di negeri ini yang bersempadan dengan Thailand, hujung bulan ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, selain itu, pihaknya juga akan menggunakan bantuan teknologi dron dalam usaha memantau kawasan dan mengekang aktiviti jenayah di sempadan.

“Antara isu yang sering dibangkitkan di sempadan Kelantan termasuk isu penyeludupan dan pendatang tanpa izin (PATI). Jika tiada aral melintang, kita akan lancarkan Unit Berkuda, K9 dan dron pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat Kontinjen Kelantan di pekarangan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), di sini hari ini. 

Dalam majlis itu, seramai 156 penerima penghargaan diraikan membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pengamal media Kelantan yang turut membantu tugas polis dalam mengekang jenayah di negeri ini. 

Dalam perkembangan sama, Shafien memberitahu, penambahan anggota dan unit di kontinjen Kelantan adalah persediaan menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

“Selain itu, kita berharap usaha ini dapat memastikan keadaan sempadan sentiasa berada dalam keadaan terkawal bagi tempoh jangka panjang. Pendekatan ini diharap menjadi titik tolak kepada usaha lebih mantap oleh polis Kelantan yang sentiasa berdepan cabaran ketika menjaga sempadan negeri ini,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top