Usah tarik diri, kekal jadi tuan rumah

Usah tarik diri, kekal jadi tuan rumah

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sekalipun laporan kes COVID-19 menunjukkan trend yang membimbangkan namun kerajaan dilihat tidak perlu menarik ‘brek tangan’ supaya Malaysia dapat terus menjadi hos bagi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berpandangan peluang sebagai hos menghidangkan prospek paling cerah buat Malaysia sekali gus wajar diteruskan di sebalik peningkatan kes wabak itu.

Jelasnya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, sudut utama sudah pastilah skuad Harimau Malaya memiliki kelebihan dengan bermain di gelanggang sendiri serta di hadapan penyokong sendiri sekalipun kerajaan mengenakan had penonton.

Namun sudut kedua adalah ia merancakkan semula kegiatan ekonomi dan menjana perolehan kepada industri bola sepak tempatan termasuk untuk kegiatan arus perdana seperti pengiklanan, hak siaran antarabangsa, penjualan tiket serta industri hiliran seperti pelancongan dan perniagaan kecil.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh menjadikan pusingan kelayakan ini sebagai ujikaji bagi melihat kemampuan penganjuran tenaga kerja tempatan dalam merancakkan semula industri sukan negara.

“Bayangkan kali terakhir Harimau Malaya beraksi di laman sendiri pada November 2019. Sekiranya kita tidak beraksi di gelanggang sendiri sehingga Jun nanti, ini bermakna skuad kebangsaan tidak bermain di hadapan penyokong sendiri selama 56 bulan atau dua tahun lapan bulan.

“Sedangkan Singapura menjadi hos Piala AFF 2020, manakala Kemboja menjadi tuan rumah Piala AFF Bawah 23 tahun (B-23) tetapi kita masih berfikir perlu atau tidak untuk membatalkan hak tuan rumah Malaysia.

“Kita jangan undur tetapi sebaliknya rangkalah prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk merancakkan kembali industri bola sepak. Bukan sahaja Ultras Malaya boleh melaungkan sokongan mereka, penjual burger pun boleh cari makan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sadek melihat KBS perlu ‘memujuk’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mula melonggarkan beberapa SOP yang dianggap terlalu menyulitkan Malaysia bagi membuka pintu kepada penganjuran kejohanan sukan antarabangsa.

Ini berikutan KKM sendiri mengumumkan kes harian positif yang dilaporkan adalah majoritinya dalam kategori 1 dan 2.

“Walaupun sempadan negara belum dibuka, cuba kita kaji tindakan negara lain dalam menganjurkan kejohanan bola sepak di negara mereka.

“Apa yang pasti langkah pencegahan seperti ujian calitan di destinasi asal, tempoh isolasi yang sesuai serta pematuhan SOP yang ketat sebelum, sepanjang dan pasca kejohanan harus dilaksanakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top