helmi.talkah@bh.com.my
SHAH ALAM: Skuad wanita Indonesia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menewaskan Korea Selatan 3-1 pada aksi final, hari ini.
Sebagai rekod, ia adalah gelaran pertama buat pasukan Indonesia selepas pencapaian terbaik sebelum ini adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2018 di Kedah.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City itu, Indonesia yang membariskan pasukan kedua mereka dalam kejohanan kali ini meraih mata pertama menerusi kemenangan perseorangan pertama, Gregoria Mariska Tunjung yang menewaskan Sim Yujin 21-9, 21-10.
Bagaimanapun, Korea berjaya menyamakan kedudukan menerusi beregu, Baek Ha Na-Seong Seung Yeon yang menewaskan gandingan Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-15, 14-21, 21-14.
Pemain perseorangan kedua, Putri Kusuma Wardani kembali meletakkan Indonesia di depan apabila menyumbang mata kedua selepas menundukkan Lee Se Yeon 21-10, 21-18.
Beregu, Nita Violina Marwah-Lanny Tria Mayasari muncul wira Indonesia apabila menghadiahkan mata kemenangan menerusi kejayaan menewaskan Kim Min Ji-Park Min Jeong 23-21, 21-11 sekali gus menamatkan penantian gelaran juara pasukan berkenaan.
“Sebelum turun bermain, kami tidak terlalu fikirkan soal beri mata kemenangan kepada pasukan atau sebaliknya kerana apa yang paling penting adalah memberikan yang terbaik dalam perlawanan.
“Hasilnya, kami menang dan memberi mata kemenangan kepada pasukan untuk muncul juara. Sudah pasti kami sangat gembira dan ini adalah kemenangan yang istimewa buat kami,” kata NIta Violina.
Kekalahan menyaksikan Korea sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas turut meraih pencapaian sama dua tahun lalu susulan tewas 0-3 di tangan Jepun dalam aksi final.
© New Straits Times Press (M) Bhd