Pelajar asrama positif COVID-19: Sekolah urus atau ibu bapa bawa pulang

Pelajar asrama positif COVID-19: Sekolah urus atau ibu bapa bawa pulang

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta menetapkan garis panduan muktamad bagi menangani isu pelajar di asrama sekolah yang didapati positif COVID-19.

Mengemukakan gesaan itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (MPPIBGN) bimbang pendekatan meminta pelajar yang mengalami gejala atau perlu dikuarantin pulang ke rumah boleh menyebabkan penularan dan mungkin jangkitan kepada ahli keluarga lain serta masyarakat setempat.

“Keputusan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, baru-baru ini memutuskan murid bukan dari kelas peperiksaan yang balik bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama adalah satu daripada inisiatif terbaik bagi mengekang penularan wabak itu dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita melihat langkah sedemikian sebagai jalan terbaik dan sememangnya pelajar sekolah yang berada di asrama perlu terus dikuarantin di asrama bagi mengelakkan penularan kepada ahli keluarga masing-masing. Ada baiknya juga pusat kuarantin dan rawatan khas disediakan untuk mereka bagi menangani penularan Omicron dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

MPPIBGN juga meminta kebajikan pelajar sekolah harian turut diberi perhatian demi memberi jaminan mereka dapat menghadapi peperiksaan dalam situasi jangkitan kes COVID-19 akibat gelombang Omicron yang semakin aktif kini.

Pada 5 Februari lalu, Radzi memaklumkan, keputusan tidak membenarkan pelajar bukan calon peperiksaan kembali ke asrama adalah bagi memastikan calon SPM berada dalam keadaan yang terlindung dan mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat serta teratur.

“Langkah meminta ibu bapa membawa balik anak di asrama yang bergejala atau positif COVID-19 ke rumah perlu dilihat kembali. Yang wajar adalah mereka boleh diasingkan di pusat kuarantin khas, terutama calon SPM kerana peperiksaan masih berbaki beberapa hari lagi,” kata pertubuhan berkenaan.

Pada masa sama, MPPIBGN juga berharap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di sekolah seluruh negara dapat dilaksanakan kadar segera bagi memastikan pemberian dos pelalian kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dpercepatkan.

“Ia memudahkan proses PICKids dalam kalangan anak-anak di sekolah masing-masing atau berdekatan dengan mendapat persetujuan daripada ibu dan bapa. Ibu bapa perlu yakin dengan PICKids dalam usaha kita mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 yang lebih teruk pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) melihat keperluan ibu bapa membawa pulang anak-anak di asrama yang dijangkiti COVID-19 tidak mendatangkan masalah jika keseluruhan ahli keluarga sudah menerima suntikan vaksin lengkap dan tiada penyakit komorbiditi.

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata ibu bapa boleh mengawasi anak yang disahkan positif dengan teliti dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pihak sekolah.

“Isunya jelas, pihak sekolah tidak mahu menanggung risiko keselamatan atau dipersalahkan jika penyakit melarat. Sememangnya beban ini patut digalas ibu bapa sendiri dan perlu mengikuti SOP ditentukan KKM. Jika anak perlu dimasukkan ke pusat kuarantin, maka ibu bapa harus bertanggungjawab menghantar mereka ke pusat yang ditetapkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top