bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Empat daerah iaitu Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan dikenal pasti sebagai lokasi baharu penempatan banjir di Pahang.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setakat ini, lokasi penempatan itu belum dimuktamadkan.
Katanya, ini kerana sebarang keputusan turut mengambil kira pandangan daripada mangsa banjir.
“Kita tidak mahu mangsa banjir dipindahkan secara paksaan bagi mengelak masalah lain timbul kerana segala keputusan perlu dilakukan secara teratur.
“Sekiranya ada usaha mencegah banjir, kemungkinan mangsa banjir tidak perlu berpindah.
“Kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan
keputusan tepat,” katanya selepas menerima borang keahlian UMNO daripada 32 ahli BERSATU Maran di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberikan tumpuan khususnya bagi membantu mangsa banjir yang kehilangan rumah dan rumah mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.
Katanya, ini kerana Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengenal pasti rumah yang perlu dibaiki.
“Oleh itu, pemantauan dilakukan bagi memastikan tidak berlaku pertindihan kerana pelbagai agensi kerajaan turut menghulurkan bantuan.
“Ia termasuk Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga bersetuju untuk membantu dan kerajaan negeri mengemukakan maklumat pemaju bagi membina dan membaiki rumah yang terjejas banjir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd