SHAH ALAM: Seorang wanita yang bekerja sebagai penghantar makanan (p-hailing) mengalami detik hitam apabila disamun dua lelaki dipercayai warga Indonesia di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, pagi semalam.
Menerusi kejadian yang tular dalam media sosial, wanita berusia 29 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal untuk menghantar makanan kepada seorang pelanggan sebelum didatangi suspek membawa parang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika kejadian mangsa berseorangan ketika kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah.
“Suspek dua orang lelaki disyaki warganegara Indonesia, berbadan kurus menaiki motosikal dan masing-masing memakai topi keledar berwarna biru dan merah serta memiliki parang yang disembunyikan di dalam bajunya.
“Suspek tarik gelang di tangan mangsa. Mangsa tak dicederakan oleh suspek, namun terdapat kesan luka ringan pada tangan sebab suspek tarik gelang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, mangsa kehilangan gelang tangannya yang bernilai RM1,800 dan kes di siasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Baharudin turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Roshaza di talian 03-55202222.