Kangar: Masjid-masjid disarankan agar menggunakan dana dan wang simpanan masing-masing untuk tujuan kebajikan khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19 yang cukup memberi kesan terhadap kehidupan serta sosio-ekonomi rakyat.
Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, selain itu, dana masjid juga boleh digunakan bagi menyediakan kemudahan internet dalam komuniti secara percuma sekali gus meringankan beban para pelajar yang mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Muhammad Azmir berkata, Dewan Pemuda Pas negeri turut mencadangkan pihak masjid agar memperuntukan sebahagian daripada dana masjid untuk disalurkan kepada anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan agar kebajikan mereka sentiasa terbela.
“Pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah memberi kesan ke atas kehidupan serta sosio-ekonomi rakyat.
“Justeru, melihat kepada kesusahan yang terpaksa ditanggung rakyat khususnya di negeri ini, Dewan Pemuda Pas Perlis mencadangkan supaya duit simpanan masjid dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan anak kariah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Muhammad Azmir, antara program lain yang boleh dilaksanakan termasuk menubuhkan bank makanan di masjid-masjid.
Katanya, inisiatif tersebut boleh membantu golongan yang terputus bekalan makanan mendapatkan bekalan tersebut di masjid-masjid berhampiran mereka.
“Besarlah harapan kami untuk melihat masjid dapat memainkan fungsinya sebagai sebuah institusi yang mengutamakan kebajikan rakyat khususnya dalam situasi yang amat mencabar ketika ini,” katanya. – UTUSAN
Malay News
Agama Desk