BEREGU lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Masters Indonesia 2021, selepas mengetepikan pasangan England Ben Lane-Sean Vendy pada Rabu.
Bagaimanapun, pasangan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu terpaksa bermandi peluh apabila diheret bermain dalam rubber set setelah pasangan England bangkit di set kedua 21-15 selepas tewas pada set pertama kepada pasangan negara 21-11.
Aaron-Wooi Yik, pilihan kelima kejohanan, kembali menemui rentak permainan dan memenangi set penentuan 21-8, untuk menempah pertemuan dengan pasangan tuan rumah Panjer Aji Siloka Diadara-Bryan Sidney Elohim di pusingan kedua.
Panjer-Bryan sebelum itu mengenepikan rakan senegara Galuh Dwi Putra-Gabriel Christopher Winja Wijaya 21-18, 16-21, 21-10.
Pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah pula menyingkirkan rakan senegara yang juga pasangan profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sen 21-15, 22-20 untuk berdepan cabaran tuan rumah Fitriani Fitriani-Yulia Yosephine Susanto yang mendapat kemenangan percuma selepas rakan senegaranya Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro menarik diri.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hanya memerlukan 24 minit untuk menyingkirkan pasangan jerman Mark Lamsfuss-Isabel Lohau 21-12, 21-15.
Soon Huat-Shevon akan berdepan gandingan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet. – Bernama