JERANTUT: Kata orang-orang tua, ‘tak kenal maka tak cinta’. Begitulah ghairahnya pelawat luar mengunjungi Kuala Sat, Hulu Tembeling di sini, sejak kawasan peranginan di situ dibuka dan dilaporkan kira-kira 3,000 pelawat ‘menyerbu’ kampung tersebut.
Kampung Kuala Sat yang terkenal sebagai penempatan masyarakat Melayu pesisir Sungai Tembeling yang dibuka sejak 600 tahun lalu kembali dikunjungi ramai pelawat domestik sejak awal bulan ini.
Suasana damai Kampung Kuala Sat dikelilingi hutan tropika yang tertua di dunia serta aliran Sungai Tembeling dan anak Sungai Sat yang jernih menarik perhatian pelawat luar sekali gus dapat mengikis ‘kebosanan’ selepas tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penggiat ekopelancongan dan pengusaha rumah inap, Alias Hashim berkata, bermula awal bulan ini, hampir 3,000 orang pelawat domestik. mengunjungi pusat peranginan kampung tradisional tersebut.
“Penggiat dan pengusaha ekopelancongan di sini tidak menyangka kehadiran begitu ramai pelawat selepas kerajaan melaksanakan gelembung pelancongan dan kebenaran rentas daerah serta negeri.
“Kita sudah menerima banyak tempahan pelawat untuk menginap di pusat inap di sini, pemandu alam sekitar (nature guide) serta sewa bot penambang termasuk makanan tempatan berasaskan ikan Sungai Tembeling pada hujung minggu akan datang,” katanya di Kampung Kuala Sat, dekat sini semalam.
Menurut Alias, kehadiran ramai pelawat ke situ juga memberikan rezeki kepada hampir 20 orang pengusaha dan pemandu bot penambang di situ untuk disewa bagi membawa pengunjung ke beberapa destinasi menarik berdekatan kampung termasuk berekreasi di Sungai Tembeling.
Beliau yang berpengalaman hampir 20 tahun sebagai pemandu alam sekitar dan bot penambang berkata, setelah pusat peranginan itu beroperasi, dia serta pengusaha lain memperoleh pendapatan semula menerusi sektor berkenaan sekali gus mengurangkan tekanan setelah hampir sembilan bulan tanpa pekerjaan.
“Walaupun hampir musim pejur dan berkemungkinan banjir penghujung tahun, tetapi kehadiran pelawat luar tetap ramai apabila mereka menghubungi pengusaha di sini untuk membuat tempahan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE