PORT DICKSON: Kerajaan perlu memperincikan segala yang berkaitan pembiayaan luar belanjawan di sebalik Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau akan mengulas mengenai Belanjawan 2022 esok di Dewan Rakyat termasuk berkenaan off budget yang menjadi tanggungan kerajaan.
“Belanjawan saya akan ulas esok terutama apa yang disebut sebagai off budget, ya kita bincang belanjawan tetapi ada belanja puluh bilion yang off budget, umpama contoh lama 1MDB, itu off budget tapi menjadi tanggungan kerajaan.
Anwar
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Bakul Makanan Sempena Deepavali di Dewan Orang Ramai Kampung India, Bukit Pelandok, Chuah di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau melihat Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah sesuatu yang baik terutama peruntukan kepada golongan yang memerlukan.
“Diberi kecil-kecil ini kita nampak baik dan saya sokong, tolong orang bawah, tetapi kalau kita tidak teliti yang ini (off budget) ia akan terus berlarutan, itu saya akan ulas esok, sebelum tengah hari,” katanya. -UTUSAN ONLINE