96 akaun GISBH dibeku

96 akaun GISBH dibeku

KUALA LUMPUR: Kira-kira 96 akaun bank dan pelbagai aset membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) bernilai lebih setengah juta ringgit dibekukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pembekuan berkenaan adalah tindakan lanjut PDRM berhubung siasatan berhubung ekploitasi kanak-kanak selepas menyerbu 20 rumah amal di bawah syarikat itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak empat akaun turut ditutup dan pelbagai kenderaan disita bagi membantu siasatan kes eksplotasi kanak-kanak yang dijalankan ketika ini.

Menurut beliau, pembekuan harta berkenaan dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA). 

“Sehingga kini, sebanyak 96 akaun membabitkan GISBH yang berjumlah RM581,552.31 dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Sebanyak empat akaun ditutup dan lapan kenderaan turut dikeluarkan perintah pembekuan,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan. – UTUSAN

Scroll to Top