am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Sembilan pekerja sebuah ladang sawit, di sini, dikejarkan ke hospital selepas disyaki terhidu racun serangga, hari ini.
Semua mangsa dipercayai terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 ketika menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di ladang seluas lapan hektar, kira-kira 9 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan media berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.11 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menutup kawasan dan membuat persempadanan (dengan memasang sawar-sawar) bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud,” katanya
Katanya, operasi ditamatkan 6.40 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd