80 bukan Islam teruja rasai pengalaman buka puasa di masjid

80 bukan Islam teruja rasai pengalaman buka puasa di masjid

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Peluang berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Jamek Muhammadi di sini, selain diberi pendedahan mengenai Islam menjadi pengalaman berharga buat 80 masyarakat Cina dan India di negeri ini.

Menerusi program mahabbah ‘Masjid Tour Guide’ (MTG) yang dianjurkan Masjid Jamek Muhammadi semalam, peserta diberikan kefahaman jelas mengenai ibadat berpuasa serta sedikit sebanyak berkaitan aktiviti dalam masjid terbabit.

Meskipun hanya dua jam program berlangsung, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk melakukan jelajah dalam kawasan masjid, diberikan penerangan mengenai puasa selain diperdengarkan laungan azan secara langsung seterusnya berbuka puasa beramai-ramai.

Bagi mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Jayden Leong, 20, dia teruja apabila diajak rakan menghadiri program itu yang baginya satu pengalaman luar biasa dengan pembabitan ramai masyarakat bukan Islam untuk datang ke masjid mendalami perkara berkaitan ajaran Islam.

“Sebaik diajak rakan, saya terus setuju untuk hadir tanpa berfikir panjang kerana bagi saya pengalaman sebegini bukan selalu datang.

“Walau tidak lama, apa yang dipamer kepada kami orang bukan Islam, sangat bermanfaat dalam konteks mengetahui mengenai agama lain seterusnya saling menghormati pegangan masing-masing.

“Paling seronok apabila tiba waktu berbuka puasa kerana dapat makan beramai-ramai dengan duduk bersila sebaik azan Maghrib berkumandang seolah-olah kami semua juga berpuasa,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Jayden berkata, dia sudah biasa berpuasa meskipun tidak penuh sepanjang Ramadan, dia melihat amalan berpuasa sangat baik untuk mendisiplinkan diri serta kesihatan.

Meskipun sudah mula berpuasa sejak usia 14 tahun lagi, untuk Ramadan kali ini dia baru berpuasa tiga hari namun sangat menghormati rakan-rakannya yang beragama Islam dengan tidak makan atau minum air di hadapan mereka.

“Selain berbuka (puasa), waktu sahur juga sangat menyeronokkan kerana kami beramai-ramai akan ke tempat makan untuk menikmati hidangan yang disediakan, walau mengantuk tapi seronok,” katanya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Sementara itu, penyelaras program, Suriati Abdul Halim, berkata, MTG adalah program kerjasama antara Islamic Outreach ABIM Centre, Masjid Jamek Muhammadi dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang dianjurkan sejak 2017.

Menurutnya, program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada tetamu bukan Islam untuk merasai suasana umat Islam berbuka puasa di masjid di samping menyampaikan maklumat mengenai masjid dan Islam kepada mereka.

“Program ini sentiasa mendapat sambutan dan kali ini peserta meningkat daripada 50 pada tahun lalu menjadi 80 orang kali ini dan mereka adalah terdiri daripada wakil persatuan, parti politik serta individu,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top