792 murid Orang Asli Perak terima bantuan persekolahan

792 murid Orang Asli Perak terima bantuan persekolahan

KUALA LUMPUR – Seramai 792 pelajar dalam kalangan keluarga Orang Asli menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan satu majlis yang di adakan di Simpang Pulai, Perak hari ini.

YBR dalam kenyataannya berkata, sumbangan yang turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Orang Asli itu memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM25,000.

Objektif memberikan bantuan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan di sepanjang sesi pembelajaran dijalankan.

Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR itu telah disempurnakan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Benedict Lasimbang di Dewan Sekolah Kebangsaan Pos Raya Simpang Pulai, Ipoh.

Turut hadir dalam sesi penyampaian tersebut iaitu Presiden Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Senator Bob Manolan Mohamad; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Orang Asli Perak, Datuk TPr. Suki Mee.

Sementara itu, Philip dalam satu kenyataan berkata, jumlah bantuan yang diberikan tidaklah besar namun diharap dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti.

“Semoga usaha ini dapat memberi sinar kegembiraan buat murid-murid dalam menuntut ilmu serta tanda tulus ikhlas YBR dalam menyantuni mereka yang berada diluar kawasan bandar,” katanya.

Pada majlis sama, Bob berterima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan oleh YBR dalam membantu masyarakat orang asli khususnya di sekitar Perak.

“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin untuk murid-murid orang asli merasa seronok untuk ke sekolah serta mendapat pendidikan yang sama rata sama seperti mereka yang lain.”

“Bantuan Yayasan Bank Rakyat ini besar ertinya kepada murid-murid 4 buah sekolah yang terlibat dan diharapkan insiatif ini dapat diteruskan di masa akan dating,” ujarnya.

Sehingga Jun tahun ini, seramai 19,240 murid serta 202 buah sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.74 juta melibatkan 53 lokasi. – MalaysiaGazette