792 murid Orang Asli Perak dibantu Yayasan Bank Rakyat

792 murid Orang Asli Perak dibantu Yayasan Bank Rakyat

IPOH: Seramai 792 murid dan pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Perak menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi meneruskan pembelajaran mereka untuk sesi tahun ini.

Bantuan itu dilakukan oleh YBR dengan kerjasama Persatuan Orang Asli Perak membabitkan peruntukan sebanyak RM25,000.

Menurut yayasan itu, objektif usaha itu adalah mahu memberi bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan sepanjang sesi pembelajaran.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, jumlah bantuan yang diberikan tidaklah besar namun diharap dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti.

“Semoga usaha ini dapat memberi sinar kegembiraan buat murid-murid dalam menuntut ilmu serta tanda tulus ikhlas YBR dalam menyantuni mereka yang berada di luar kawasan bandar,” katanya.

Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR itu telah disempurnakan oleh Philip di dewan Sekolah Kebangsaan Pos Raya Simpang Pulai dekat sini hari, Ipoh.

Turut hadir dalam sesi penyampaian ialah Presiden Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Senator Manolan Mohamad; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pengerusi Persatuan Orang Asli Perak, Datuk Suki Mee dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd. Rahman.

Sementara itu dalam majlis sama, Manolan berkata, beliau amat berterima kasih terhadap sokongan berterusan oleh YBR bagi membantu masyarakat Orang Asli khususnya di sekitar Perak.

“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin untuk murid-murid Orang Asli berasa seronok untuk ke sekolah serta mendapat pendidikan yang sama rata sama seperti mereka yang lain,” katanya.

Katanya lagi, bantuan YBR itu besar ertinya kepada murid-murid empat buah sekolah yang terlibat dan diharapkan insiatif seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Sehingga Jun 2024, seramai 19,240 murid serta 202 buah sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.74 juta yang melibatkan 53 lokasi. – UTUSAN

Scroll to Top