759 usahawan MADA jana hasil cecah RM17.2 juta

759 usahawan MADA jana hasil cecah RM17.2 juta

ARAU: Seramai 759 usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 1 Perlis menjana hasil mencecah RM17.2 juta bagi tempoh sehingga September lalu.

Jumlah berkenaan adalah menerusi pengeluaran industri asas tani seperti kuih tradisional, produk makanan dan tanaman, ternakan, akuakultur serta agro pelancongan.

Untuk rekod, MADA memainkan peranan dan tanggungjawab memajukan industri padi di samping mengendalikan program-program keusahawanan tani dalam sebahagian agenda kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan.

Perkembangan tersebut dipersembahkan wakil MADA kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu sesi taklimat bersempena Program Jelajah Agro Pelancongan MADA 2024 di sini semalam.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan majlis perasmian tersebut yang berlangsung di Homestay Dangau Tok Chaq, Simpang Empat, di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh dan Timbalan Pengurus Besar Pertanian MADA, Zulkifli Romli.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM19,500 kepada usahawan Wilayah I MADA, Azimah Ahmad yang merupakan pengusaha ternakan lembu.

Baginda kemudian turut berkenan menyempurnakan penyerahan zakat kepada asnaf terpilih menerusi Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli.

Penerima sumbangan berkenaan terdiri daripada Mohd Zulkiflee Ismail, 58, dari Kampung Permatang Pauh; Jaafar Mat Isa, 76, dari Simpang Empat dan Ku Md Khir Ku Deris, 66, dari Kampung Datuk Ahmad Musa.

Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.-UTUSAN

Scroll to Top