736,607 OKU di Malaysia

736,607 OKU di Malaysia

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 736,607 orang atau 2.2 peratus daripada penduduk Malaysia berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebagai orang kurang upaya (OKU), tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penemuan Statistik Orang Kurang Upaya Malaysia 2023 itu diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membabitkan tujuh bidang iaitu penduduk, kesihatan, pendidikan, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan, perkhidmatan kebajikan dan sukan.

Katanya, bidang sukan adalah statistik baharu yang diterbitkan pada penerbitan tahun ini.

“Ketersediaan statistik OKU boleh digunakan sebagai input dalam menambah baik perancangan dan penggubalan polisi atau dasar berkaitan OKU oleh kerajaan dan pemegang taruh lain.

“Daripada jumlah keseluruhan 736,607 OKU yang berdaftar dengan JKM, 265,503 adalah yang mempunyai masalah pembelajaran, sekali gus tertinggi berbanding kategori lain serta diikuti 265,221 berdaftar di bawah kategori fizikal dan penglihatan (63,779 orang).

“Kategori pertuturan mencatatkan pendaftaran terendah iaitu seramai 3,846 orang manakala 174,916 warga emas didaftarkan sebagai OKU iaitu peningkatan 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bilangan atlet paralimpik meningkat 18.3 peratus pada 2023 kepada 71 orang berbanding 60 orang tahun sebelumnya.

“Majoriti atlet paralimpik adalah lelaki iaitu seramai 58 orang berbanding 13 orang perempuan.

“Dari segi jenis sukan, olahraga mencatatkan bilangan atlet tertinggi iaitu seramai 30 orang diikuti renang (10 orang) dan boccia (sembilan orang),” katanya.

Katanya, bilangan OKU yang menerima rawatan kesihatan pada 2023 meningkat 15.5 peratus kepada 4,551 orang berbanding 3,940 orang pada 2022.

“OKU yang mempunyai masalah pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi yang mendapatkan rawatan kesihatan iaitu 85.9 peratus diikuti kategori fizikal (8.6 peratus) dan pertuturan (2.8 peratus).

“Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 831 bayi berusia kurang setahun yang dikesan mempunyai ketidakupayaan pada 2023, selain 1,453 kanak-kanak berusia 18 bulan disyaki mempunyai autisme pada tahun sama,” katanya.

Mohd Uzir berkata, sebanyak 34 sekolah pendidikan khas direkodkan pada 2023, terdiri daripada 20 sekolah rendah dan enam sekolah menengah.

“Jumlah guru sekolah pendidikan khas di peringkat rendah pada 2023 menurun 1.0 peratus kepada 826 guru manakala bilangan guru sekolah pendidikan khas di peringkat menengah pula meningkat 2.4 peratus kepada 473 guru dalam tempoh sama.

“Bilangan murid sekolah pendidikan khas di peringkat rendah dan menengah juga merekodkan peningkatan pada 2023 masing-masing 17.5 peratus dan 0.9 peratus kepada 1,736 murid dan 1,055 murid,” katanya.

Beliau berkata, seramai 3,856 penjawat awam OKU yang berkhidmat pada 2023, meningkat 3.5 peratus berbanding 3,724 orang pada 2022.

“Kategori fizikal mencatatkan peratus tertinggi iaitu 65.2 peratus pada 2023, diikuti kategori penglihatan (20.4 peratus) dan pendengaran (8.7 peratus).

“Berdasarkan kumpulan perkhidmatan, majoriti penjawat awam OKU iaitu 66.3 peratus berkhidmat di bawah kumpulan pelaksana diikuti kumpulan pengurusan dan profesional (33.5 peratus) dan pengurusan tertinggi (0.2 peratus).

Katanya, seramai 761 OKU menghuni di Taman Sinar Harapan pada 2023 dan 96 OKU berdaftar sebagai pelatih di Bengkel Daya pada tahun sama Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan menerima 11 orang pelatih OKU pada 2023 untuk pelbagai skim latihan.

Penerbitan Statistik Orang Kurang Upaya, Malaysia, 2023 boleh dimuat turun secara percuma di portal Jabatan Perangkaan Malaysia (www.dosm.gov.my).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top