735,329 OKU berdaftar dengan JKM, 63,966 kategori autisme

735,329 OKU berdaftar dengan JKM, 63,966 kategori autisme

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 735,329 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga September 2024 dan daripada jumlah itu, 63,966 adalah kategori autisme.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10,859 OKU autisme berbanding 2023.

“Usaha dan sokongan bagi kes gangguan spektrum autisme (ASD) adalah bersifat rentas kementerian dan memerlukan pelbagai kepakaran dan sokongan.

“Pendekatan ini perlu bagi memastikan sokongan yang diberikan adalah bersifat holistik dan menyokong ke arah perkembangan, kesamarataan hak dan peluang serta penyertaan aktif.

“Sokongan yang diberikan bermula dari aspek jagaan, rehabilitasi dan intervensi, pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Perkara ini memerlukan penyertaan penuh dari setiap agensi mengikut kepakaran, bidang kuasa dan peranan masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai statistik, usaha dan sokongan kementerian bagi kes gangguan ASD yang semakin meningkat dan bagaimana menangani isu kekurangan ahli profesional bertauliah sedangkan tidak semua kanak-kanak ASD memerlukan pendidikan khas.

Mengulas lanjut kata Nancy, pelbagai usaha dan inisiatif sokongan dibuat menerusi JKM bagi meningkatkan kualiti hidup golongan OKU autisme.

“Usaha ini meliputi pengukuhan kompetensi jagaan bagi penjaga OKU autisme, perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada ibu bapa atau penjaga, penyampaian perkhidmatan kepada OKU, program sokongan bagi meningkatkan kesejahteraan dari aspek jagaan, program rehabilitasi dan intervensi serta perkhidmatan institusi kebajikan,” katanya.

Menurutnya, antara inisiatif yang dijalankan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah seperti membangunkan dua modul iaitu Pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak OKU Autisme dan Modul Sokongan Psikologi Kepada Penjaga OKU bagi pengukuhan kompetensi jagaan bagi penjaga OKU autisme.

Inisiatif lain katanya, memberi perkhidmatan psikologi dan kaunseling ibu bapa kepada kanak-kanak OKU dalam Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) melalui pelaksanaan melalui intervensi psiko pendidikan dan sesi kaunseling kelompok kepada penjaga OKU di PDK.

“Penyampaian perkhidmatan meliputi taska OKU, PDK dan perkhidmatan institusi seperti Taman Sinar Harapan, Bengkel Daya dan Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian (PLPP) serta program rehabilitasi dan intervensi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyedari isu kekurangan ahli profesional bertauliah bagi mengendalikan perkhidmatan berkaitan kanak-kanak ASD.

“Pelbagai kepakaran dan kemahiran diperlukan untuk melaksanakan intervensi dan program rehabilitasi terhadap OKU autisme.

“Justeru, isu ini akan dibawa kepada jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MBOKU) untuk diteliti lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top