7,000 teruja dan serbu reruai Andalusia

7,000 teruja dan serbu reruai Andalusia

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Reruai pengendali pakej ibadah haji dan umrah terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menerima sambutan amat memberangsangkan pada hari kedua Pameran Pelancongan Antarabangsa (Matta Fair 2024) tadi.

Ketua Pegawai Perniagaan Andalusia Izzati Ibrahim berkata, seramai 7,000 pengunjung hadir ke reruai untuk mendapatkan konsultasi mengenai pakej ditawarkan sejak semalam.

Menurutnya, Andalusia menyasarkan seramai 3,000 orang akan mendaftar pakej umrah ditawarkan pihaknya sepanjang tiga hari penganjuran Matta Fair 2024.

“Semalam sahaja, kami sudah dapat pendaftaran seramai 788 orang jemaah umrah. Alhamdulillah. Sasaran kami hari ini seramai 1,500 manakala untuk tiga hari adalah 3,000 pelanggan.

“Insya-Allah ia dapat dicapai,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Malaysia Trade and Exhibition Centre (Mitec) di sini, tadi.

Mengulas lanjut katanya, Andalusia menawarkan diskaun pakej umrah bermula RM300 sehingga RM1,000 seorang manakala pakej pelancongan pula bermula RM50 sehingga RM200.

“Diskaun ini akan berlangsung selama tiga hari di Mitec selain 55 cawangan Andalusia serta semua platform dalam talian.

“Semua (tawaran diskaun ini) serentak untuk memudahkan pelanggan dan jemaah,” katanya.

Selain itu katanya, kelainan Matta Fair kali ini adalah pihaknya membawakan pakej Alif Satar Menelusuri Sirah dan Umrah yang akan melawati lokasi istimewa seperti Khaibar, Al-Ula, Jeddah dan Riyadh.

Menurutnya, Alif yang juga seorang ikon akan berlari bermula dari Masjid Nabawi sehingga ke Masjid Quba.

Beliau berkata, harga pakej ini bermula RM12,290 seorang dan diskaun yang ditawarkan adalah sebanyak RM300.

“Bagi pakej Alif Satar ini, seramai 27 orang sudah mendaftar dan baki yang tinggal adalah 122 kekosongan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd