7 negeri dijangka hadapi luruan monsun bermula Ahad

7 negeri dijangka hadapi luruan monsun bermula Ahad

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan berstatus waspada melibatkan kawasan di Pantai Timur dan utara Semenanjung berkuatkuasa Ahad ini hingga 11 Disember depan.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, berdasarkan analisis model cuaca terkini, luruan monsun dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember ini.

Katanya, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sarawak dan timur Sabah dalam tempoh sama.

Pada masa sama, tambahnya, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan.

“MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa pada 8 hingga 11 Disember manakala Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 8 hingga 12 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran terkini MET Malaysia di Facebook, hujan berterusan berstatus waspada dijangka berlaku di Perlis, Kelantan dan Terengganu bermula 8 Disember hingga 11 Disember depan.

Turut terkesan adalah beberapa daerah di Kedah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling dan Hulu Perak, Perak 

“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); Johor (Mersing dan Kota Tinggi) dalam tempoh 9 Disember sehingga 11 Disember,” katanya.– UTUSAN

Scroll to Top