7 faktor penjawat awam sanggup berhutang lebih daripada kemampuan

7 faktor penjawat awam sanggup berhutang lebih daripada kemampuan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tujuh faktor dikenalpasti menyebabkan kakitangan awam sanggup berhutang lebih daripada kemampuan atau bertindih susulan kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, pertamanya adalah pendapatan mereka yang tidak selari dengan kos sara hidup.

“(Contohnya) gaji penjawat awam tidak cukup dan kos sara hidup tinggi terutama di kawasan bandar. Tapi kalau kita jumpa dengan orang yang pandai urus duit, pada dia okey sahaja.

“Kedua adalah, gaya hidup melebihi kemampuan menjadikan mereka ini terjebak dengan hutang,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan penjawat awam agar tidak membuat pinjaman berlebihan atau bertindih yang tidak perlu susulan kenaikan gaji di bawah SSPA.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, SSPA seharusnya tidak dijadikan alasan untuk penjawat awam menambah pinjaman, yang akhirnya akan menambah beban kewangan.

Mengulas lanjut, Azizul berkata, faktor ketiga penjawat awam membuat pinjaman bertindih adalah disebabkan mereka mudah mendapat sistem kemudahan kredit daripada bank.

“Kerajaan tidak pernah gagal membayar gaji (kepada kakitangan awam), maka kemudahan kredit kepadanya mudah seperti pinjaman peribadi dan kad kredit.

“Yang keempat menjadikan mereka membuat hutang disebabkan komitmen kewangan yang tinggi seperti tanggungan keluarga, perubatan, anak-anak dan pendidikan,” katanya.

Menurutnya, faktor kelima adalah dari segi celik kewangan walaupun sektor pendidikan di negara ini kini mempunyai silibus pendidikan.

“Kalau kita kata tidak ada dalam silibus pendidikan, saya semak tingkatan empat hari ini mula diajar tentang kiraan kewangan.

“Namun, saya tengok kekurangan dalam silibus itu akhirnya adalah kesedaran (tentang kewangan), bukan kefahaman celik kewangan itu. Ada orang dia faham dengan duit itu tetapi kesedaran itu tak ada,” katanya.

Faktor keenam katanya, disebabkan kenaikan gaji, adanya tawaran atau pakej baru ditawarkan oleh bank kepada penjawat awam.

“Kalau dahulu kadar pinjaman lima atau tujuh peratus tetapi kali ini bank beri empat peratus dan sebagainya. Tawaran bank ini sentiasa ada.

“Yang ketujuh ialah keperluan mendadak. Oleh kerana tidak ada celik kewangan, ramai yang tidak ada perkara asas (iaitu) tentang dana kecemasan. Sebagai contoh tiba-tiba sakit dan perlukan rawatan segera menyebabkan individu itu terpaksa membuat pinjaman peribadi,” katanya.

Sementara itu, Azizul Azli berpandangan, jumlah formula ideal hutang isi rumah bagi penjawat awam adalah 50 untuk keperluan hidup, 30 peratus untuk hutang manakala 20 peratus untuk simpanan.

“50 peratus itu untuk perbelanjaan hidup seperti minyak kenderaan, membeli barangan keperluan harian manakala 30 peratus adalah seperti hutang kereta dan rumah.

“20 peratus itu adalah untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan. Tetapi jika boleh buat kadar lebih besar daripada ini, ia adalah sangat bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top