667 mangsa banjir dipindahkan seluruh Kedah

667 mangsa banjir dipindahkan seluruh Kedah

ALOR SETAR: Seramai 675 mangsa banjir daripada 159 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat pukul 5 petang ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, empat daerah terjejas akibat bencana itu iaitu Pokok Sena; Pendang; Kulim dan Kubang Pasu.

Menurut beliau, 255 mangsa ditempatkan di dua PPS di Pokok Sena, diikuti 187 mangsa di Pendang dan masing-masing 134 dan 99 mangsa di Kubang Pasu dan Kulim.

“Daripada keseluruhan mangsa, 236 ialah lelaki dewasa; 268 perempuan dewasa; kanak-kanak lelaki (84 mangsa); kanak-kanak perempuan (71 mangsa) dan masing-masing lapan bayi lelaki dan perempuan.

“Tiga PPS dibuka di Kulim iaitu Surau Taman Sang Kancil; Surau Kampung Paya Tok Betok dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mahang. PPS di Kubang Pasu pula adalah SK Malau; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu,” katanya.

Tambah Zulkhairi, sebuah PPS di Pendang adalah Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, sementara dua PPS di Pokok Sena iaitu SK Bukit Hijau dan Maahad Tarbiah Islamiyah Derang.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah memaklumkan, 15 lokasi dinaiki air di Kubang Pasu antaranya Kampung Padang Panjang; Kampung Biak; Kampung Lubuk Ipoh; Kampung Changkat Setol dan Kampung Nangmah.

Dalam pada itu, sembilan kampung di Sik dan Bandar Baharu turut terjejas, namun tiada PPS dibuka setakat ini. – UTUSAN

Scroll to Top