650 guru sekolah pondok syukur dapat RM1,000

650 guru sekolah pondok syukur dapat RM1,000

am@hmetro.com.my

Kuantan: Rezeki tahun baharu 2025 hadir buat 650 guru sekolah pondok di Pahang apabila masing-masing menerima sumbangan sagu hati RM1,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pengetua Maahad Tahfiz Darul Fikri, Khairul Azmi Ismail, 49, berkata sagu hati itu memberi semangat dan kesungguhan kepada guru sekolah pondok dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Sagu hati ini kali pertama diterima sebagai bukti perhatian MUIP terhadap guru sekolah pondok yang sering dilabelkan sebagai guru kelas dua.

“Hari ini sekolah pondok sudah mula diangkat kedudukannya, MUIP banyak mengubah imej sekolah pondok yang berdaftar dengan agensi berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman di Maahad Tahfiz Darul Fikri di sini.

Bagi Nur Mahani Ali, 26, yang bertugas di Madrasah AlQuran Quratul Ain Lil Bannat, Beserah, beliau berterima kasih kepada MUIP yang sentiasa memberi perhatian pada sekolah pondok termasuk guru.

“Alhamdulillah, syukur atas rezeki yang dikongsikan MUIP kepada guru sekolah pondok di negeri ini.

“Sumbangan berkenaan dapat meringankan beban perbelanjaan kami yang rata-rata melakukan apa sahaja dalam usaha mencurahkan ilmu agama pada anak bangsa,” katanya yang telah berkhidmat selama sembilan tahun.

Katanya, pada masa depan sagu hati berkenaan diharap dapat dipertimbangkan untuk menjadi bantuan tetap atau bonus untuk kami setiap awal tahun.

Sementara itu, Asmadi berkata, sagu hati adalah penghargaan kepada golongan pendidik yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu kepada pelajar di sekolah pondok.

Katanya, di Pahang terdapat 132 sekolah pondok berdaftar dengan MUIP yang turut berpeluang menerima bantuan kewangan serta pelbagai peralatan daripada MUIP.

“Sagu hati ini akan diteruskan setiap tahun bergantung pada hasil kutipan zakat. Sekiranya hasil MUIP terus bertambah kita akan sediakan lagi sumbangan berkenaan.

“Keikhlasan guru sekolah pondok perlu dihargai, faktor berkenaan mencetuskan ilham untuk menyediakan sagu hati pada golongan terbabit yang telah banyak berkorban terutama pada pelajar Pahang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top