Putrajaya: Seramai 632 petugas haji Tanah Suci digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula hari ini bagi membuat persiapan awal operasi musim haji tahun 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, TH menempatkan para petugas haji tanah suci secara menyeluruh, merangkumi pelbagai sektor termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan sebagainya.
“Bagi musim haji 1446H ini, terdapat dua kumpulan petugas utama iaitu Petugas Rombongan Kebajikan seramai 358 orang dan Petugas Rombongan Perubatan seramai 274 orang.
“Saya percaya gabungan dari pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya.
Syed Hamadah berkata dua penerbangan kumpulan petugas seramai 74 orang sudah berlepas hari ini diikuti dengan kumpulan selebihnya yang akan berlepas secara berperingkat, bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.
“Kesemua para petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus yang cukup komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 29 April ini manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun. Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada hari Khamis, 5 Jun.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
© New Straits Times Press (M) Bhd