khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjadi tuan rumah kepada delegasi terdiri daripada 62 pembeli antarabangsa dari seluruh dunia sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2024 (MAHA 2024).
Cawangan Komunikasi Korporat Fama berkata, program pembeli ini berfungsi sebagai platform bagi memupuk hubungan perniagaan yang berharga dan memacu perdagangan membabitkan usahawan Malaysia dan pembeli antarabangsa khususnya dalam sektor pertanian.
“Sejak dua hari lalu, ratusan mesyuarat perniagaan telah dijalankan, melibatkan lebih 200 usahawan Malaysia.
“Sebagai hasil langsung daripada interaksi yang bermanfaat ini, kita
mendapat keistimewaan untuk menyaksikan pertukaran dua MoA (memorandum perjanjian) penting hari ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
MoA ini disaksikan Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Faisal Iswardi Ismail.
Menerusinya, World Prominance Sdn Bhd memeterai perjanjian bersama dua pengimport dari Australia dan New Zealand.
MoA ini bakal membuka laluan kepada pembekalan pelbagai jenis makanan kering lengkap pes masakan dan produk kiub rempah tunggal di bawah jenama Sudee yang terkenal.
Kerjasama strategik ini turut menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan rantau Oceania.
Kata kenyataan itu, MoA pertama menyaksikan World Prominance Sdn Bhd membekalkan rangkaian yang pelbagai melibatkan pes masakan kering hidangan lengkap dan produk kiub rempah tunggal.
Menurutnya, unit penyimpanan stok (SKU) pes kering ini termasuklah perisa popular Streetfood seperti mee goreng mamak, koay teow goreng dan nasi goreng kampung.
Selain itu, ia termasuk kiub rempah tunggal yang pertama di dunia iaitu kiub cili padi, kiub serai, kiub santan dan lain-lain.
Di bawah MoA kedua katanya, World Prominance Sdn Bhd akan menyediakan perkhidmatan peralatan tulen (OEM) kepada Exotica Single Spices Cubes dan Exotica Complete Meal Dry Pastes.
Kedua-dua MoA ini dijangka menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1 juta dan pelaksanaan perjanjian ini akan dimulakan secara berperingkat mulai November 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd