60 kesan tapak kaki dinosaur

60 kesan tapak kaki dinosaur

Canberra: Lebih 60 kesan tapak kaki dinosaur ditemukan pada sebuah batu yang tersimpan di pejabat utama Sekolah Menengah Negeri Biloela, Queensland, selama lebih 20 tahun, lapor pihak berkuasa.

Penyelidikan baharu menunjukkan bahawa batu besar itu mengandungi satu daripada konsentrasi kesan tapak kaki dinosaur yang paling tinggi pernah dicatatkan di Australia, dengan 66 jejak fosil daripada 47 dinosaur berbeza yang dipercayai berasal dari zaman Jurassic Awal, sekitar 200 juta tahun yang lalu.

The Guardian melaporkan, jejak itu dibuat oleh Anomoepus scambus, dinosaur pemakan tumbuhan kecil yang berjalan dengan dua kaki.

Berdasarkan fosil rangka yang ditemukan di luar negara, spesies ini dipercayai mempunyai kaki yang panjang, tangan yang pendek dan tubuh yang besar.

Dr Anthony Romilio, yang memimpin penyelidikan dari Universiti Queensland Dinosaur Lab, menggambarkan batu itu sebagai penemuan penting kerana tiada rangka dinosaur dari zamannya ditemukan di Australia.

“Kami tidak menemukan tulang dinosaur itu tetapi kami tahu ia wujud,” katanya.

Jejak-jejak fosil yang ditemukan di sekitar Biloela, Callide, Carnarvon Gorge, dan Mount Morgan menunjukkan kehadiran sejumlah besar Anomoepus di Queensland Tengah.

“Sekitar zaman Jurassic Awal, ia kelihatan banyak di kawasan ini,” jelas Romilio.

Batu yang mempunyai keluasan kurang daripada satu meter persegi ini mengandungi 13 laluan kesan tapak kaki yang merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan 66 tapak kaki dinosaur.

Kesan tapak kaki itu dipercayai terbentuk dalam jangka masa beberapa hari atau minggu di lumpur yang diliputi air cetek, sementara haiwan-haiwan ini berjalan atau melintas di sepanjang sungai, kata Romilio.

Batu itu pertama kali ditemukan di lombong Callide pada 2002 dan diberikan kepada Sekolah Menengah Negeri Biloela oleh seorang ahli geologi, Wes Nichols, yang isterinya guru di sekolah berkenaan ketika itu.

Penemuan itu tidak dipedulikan selama bertahun-tahun sehinggalah penduduk setempat menghubungi Romilio.

Penyelidikan itu sudah diterbitkan dalam jurnal Historical Biology.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top