6 PPS dibuka, 979 mangsa banjir di Selangor

6 PPS dibuka, 979 mangsa banjir di Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seramai 979 mangsa banjir membabitkan 268 keluarga berdaftar dan berlindung di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi daerah Petaling dan Klang sehingga jam 8 malam ini.

Menurut portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah berkenaan meliputi 711 mangsa di tiga PPS daerah Petaling dan 230 mangsa di PPS daerah Klang.

“Jumlah ini membabitkan 650 orang dewasa lelaki dan perempuan, selebihnya kanak-kanak serta bayi.

“Jumlah berkenaan juga membabitkan 376 orang kurang upaya (OKU) lelaki dan perempuan serta 82 warga emas,” katanya.

Difahamkan terdapat beberapa keluarga mangsa yang tidak menginap di PPS kerana bermalam di rumah saudara mara di luar kawasan berkenaan.

Malah ada ahli keluarga tidak ke PPS bagi menjaga rumah masing-masing kerana mendakwa pada kejadian banjir sebelum ini banyak kecurian berlaku sepanjang mereka tinggal di PPS.

Terdahulu, Exco Pengurusan Bencana negeri, Mohd Najwan Halimi memaklumkan PPS berkenaan adalah Dewan Kenanga Seksyen 28 MBSA; Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 dan Dewan Camelia, Putra Height bagi daerah Petaling.

Bagi daerah Klang, tiga PPS dibuka adalah SK Sg Binjai, Dewan Azalea, Taman Seri Muda dan Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top