6 lelaki bergaduh kena tahan

6 lelaki bergaduh kena tahan

mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Polis menahan enam lelaki disyaki terbabit pergaduhan di Medan Seri Keramat yang dipercayai berpunca daripada provokasi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima aduan berhubung kejadian membabitkan 10 lelaki pada 12.19 tengah malam semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati rusuhan berpunca apabila salah seorang daripada mereka membuat provokasi yang menyebabkan seorang lagi menghubungi rakan yang lain, lalu berlaku pergaduhan.

“Seorang suspek mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang.

“Seterusnya, ketika mereka berada di Balai Polis Hulu Kelang, salah seorang daripadanya menumbuk muka dan menendang badan individu yang lain,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azam berkata, pihak polis telah menghalang dan menahan suspek terbabit kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

“Susulan itu juga enam lelaki berusia 20 hingga 40 tahun ditahan pada 2.30 pagi semalam, di mana dua suspek berusia 27 dan 33 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah.

“Reman terhadap semua suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 2 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan merusuh dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top