am@hmetro.com.my
Muar: Enam warga Bangladesh yang mendalangi sindiket pinjaman tanpa lesen atau along didenda RM2,500 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh iaitu Hossain Akhter, 40, Ahmed Kabir, 29, Shohag, 29, Sariful Islam, 29, Islam Atikul, 29, dan Ahmed Hossain, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar selepas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membantu menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen di Jalan Bakri, di sini, 4.30 petang pada 6 November lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat kegiatan sekumpulan lelaki warga asing menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen sebelum menahan keenam-enam tertuduh.
Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 187 kad mesin juruwang automatik (ATM) milik peminjam dan siasatan mendapati kesemua tertuduh menawarkan pinjaman kepada pekerja asing dengan kadar faedah tinggi sekitar 10 peratus.
Selepas memberi pinjaman, tertuduh meminta mangsa menyerahkan kad ATM berserta nombor pin untuk memudahkan urusan bayaran bulanan dibuat secara tunai.
Pada 6 November lalu, polis berjaya menumpaskan sindiket menawarkan pinjaman tidak berlesen kepada pekerja asing.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aqillah Mohd Rofaie, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Barath Paramasivan dan Teng Jinghen.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 setiap seorang serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd