TAIPEI : Sebanyak 53 pesawat tentera dan 19 kapal milik China dikesan menghampiri Taiwan dalam tempoh 24 jam, berikutan tindakan Beijing melancarkan mobilisasi maritim terbesar dalam tempoh beberapa tahun.
Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, pesawat dan kapal yang dikesan itu termasuk 11 kapal perang yang berada di ruang udara dan perairan Taiwan dalam tempoh sehingga pukul 6 pagi, pada Rabu.
Jumlah itu merupakan angka harian tertinggi sejak rekod 153 pesawat dilaporkan pada 15 Oktober lalu, susulan latihan ketenteraan berskala besar China sebagai tindak balas kepada ucapan Presiden Taiwan, Lai Ching-te sempena Hari Kebangsaan.
Sehari sebelumnya, kementerian tersebut melaporkan sebanyak 47 pesawat dan 12 kapal perang China berada di sekitar Taiwan.
Beijing kini dipercayai mengerahkan sekitar 90 kapal sepanjang rantaian pulau pertama yang merangkumi Okinawa, Taiwan dan Filipina yang dianggap sebagai latihan maritim terbesar negara itu dalam beberapa tahun.
Bagaimanapun, pihak tentera China dan media rasmi Beijing belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung peningkatan aktiviti ketenteraan di Laut China Timur, Selat Taiwan, Laut China Selatan atau Lautan Pasifik Barat.
Jurucakap Kementerian Luar China menegaskan negara itu akan ‘mempertahankan kedaulatan secara tegas,’ sambil menolak spekulasi mengenai kemungkinan Beijing mengadakan latihan ketenteraan sebagai reaksi terhadap lawatan Ching-te ke Amerika Syarikat minggu lalu.
Dalam kunjungannya, Ching-te sempat bertemu Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike Johnson di Guam, pertemuan tertinggi yang dicapai pemimpin Taiwan itu sepanjang lawatan seminggunya di rantau Pasifik sehingga mengundang kecaman keras dari Beijing.
China sebelum ini berulang kali menegaskan kesediaannya menggunakan kekerasan untuk membawa Taiwan kembali di bawah kawalannya.
Dalam tempoh dua tahun, Beijing mengadakan empat latihan ketenteraan berskala besar, termasuk dua siri sejak Lai memegang jawatan pada Mei lalu. -AGENSI