510 waris terima Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19

510 waris terima Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19

mohd_iskandar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 510 waris sudah menerima Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 membabitkan pembayaran berjumlah RM2.17 juta setakat 1 Jun lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, bayaran itu adalah daripada 630 permohonan yang diterima setakat ini.

“Bantuan ini diberikan kepada waris selepas NADMA menerima dan memproses permohonan serta mendapat pengesahan data kematian daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC),” kata jurucakap NADMA ketika dihubungi BH hari ini.

Katanya, Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 adalah bantuan sekali bayar sehingga kadar maksimum RM5,000 diberikan kepada waris individu yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Syarat kelayakan untuk menerima bantuan itu antaranya adalah kematian warganegara berkaitan COVID-19 hanya disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Hanya seorang waris yang layak menerima bantuan khas itu dan jika terdapat lebih satu permohonan daripada waris, NADMA hanya akan mempertimbangkan permohonan pertama.

“Jika dibandingkan data KKM, lebih 3,000 kematian dilaporkan setakat ini. Mungkin waris mengambil sedikit masa untuk mengumpul segala dokumen diperlukan untuk menghantar permohonan terbabit,” katanya.

Sementara itu, NADMA memaklumkan seramai 13,447 individu yang terkesan kerana menjalani kuarantin sudah menerima Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM100 sehari setakat ini.

Bantuan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM18.19 juta.

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, bantuan khas terbabit khusus bagi warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak COVID-19 mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Bantuan itu turut diberikan kepada warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital akibat COVID-19.

Tabung COVID-19 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac tahun lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas akibat wabak itu.

Tabung terbabit dikendalikan oleh NADMA.

© New Straits Times Press (M) Bhd