Melaka: Seramai 51 penuntut kolej di Melaka Tengah, di sini mengalami muntah dan cirit-birit selepas disyaki keracunan makanan sejurus menikmati juadah di kafe pusat pengajian itu, sejak Khamis lalu.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian dikatakan bermula apabila penuntut mengadu sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam, Khamis lalu, sebelum dihantar ke Hospital Jasin.
“Namun situasi itu berterusan sehingga semalam masih terdapat pelajar yang dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
“Sehingga 6.30 petang semalam, bilangan pelajar yang terbabit adalah seramai 51 orang terdiri daripada 36 perempuan dan 15 lelaki.
“Bagaimanapun keadaan dimaklumkan terkawal dan hanya seorang yang dimasukkan ke wad manakala pelajar lain hanya dirawat sebagai pesakit luar. Mereka dibenarkan pulang ke asrama selain tiada pertambahan kes dilaporkan sehingga tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi.
Rahmad berkata, susulan kejadian itu anggota penguat kuasa kesihatan diarah melakukan pemeriksaan serta siasatan di kafe kolej terbabit.
Katanya, berdasarkan rumusan pemeriksaan didapati tiada punca spesifik yang dikenal pasti sebagai punca keracunan itu kerana pelajar mendakwa menikmati pelbagai jenis juadah daripada tujuh kafe yang terdapat di kolej berkenaan.
“Susulan itu semua kafe terbabit diarahkan tutup selama 14 hari sehingga 30 Ogos ini bagi membolehkan operasi pembersihan dan sanitasi untuk memutuskan rantaian keracunan.
“Pemeriksaan semula oleh pihak berkuasa Jabatan Kesihatan Negeriakan dijalankan pada 19 Ogos ini untuk melihat tahap kebersihan di semua kafe terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd