500 sertai Program Mara Lasak sejauh 10.3km

500 sertai Program Mara Lasak sejauh 10.3km

saufi@mediaprima.com.my

Raub: Mengambil aspirasi daripada Program Mara Lasak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Rekreasi Pahang menganjurkan program sama di Padang Awam, Ulu Dong, dekat sini.

Program disertai lebih 500 peserta daripada 55 kumpulan dan mereka perlu menamatkan larian kurang daripada dua jam 30 minit.

Peserta dikehendaki berlari sejauh 10.3 kilometer dengan membawa bebanan seberat lima kilogram (kg) dan melalui trek ekstrem di dalam hutan, merentasi sungai dan mendaki bukit.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyertai larian Program Mara Lasak berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Pelepasan peserta larian tepat pada jam 8.40 pagi dan kumpulan terakhir menamatkan larian kira-kira dua jam selepas itu.

Hadiah terkumpul untuk pemenang program itu berjumlah RM18,000 dan pemenang tempat pertama mendapat wang tunai RM2,000, tempat kedua sebanyak RM1,500 manakala tempat ketiga RM1,000 dan dua lagi pemenang mendapat wang tunai saguhati berjumlah RM500.

Pemenang bagi kategori agensi serta pertubuhan bukan kerajaan adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan catatan masa 1 jam 24 minit 25 saat, diikuti IPD Jerantut (1 jam 28 minit 22 saat) dan Majlis Rekreasi Pahang 3 (1 jam 30 minit 2 saat)

Bagi kategori kampung pula, Belia Kampung Pamah Kulat menamatkan larian dengan masa 1 jam 37 minit 42 saat, diikuti Belia Kampung Pamah Rawas (1 jam 49 minit 46 saat) dan Felda Krau 1 (1 jam 54 minit 35 saat).

Untuk kategori VIP pula, pasukan daripada Majlis Rekreasi Pahang berjaya menjuarai kategori berkenaan diikuti dengan pasukan Tengku Mahkota Pahang dan tempat ketiga adalah pasukan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top