zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Lebih 50 rumah rosak susulan ribut berserta hujan lebat yang melanda daerah Perak Tengah dan Larut Matang Selama lewat petang tadi.
Kejadian berlaku antara jam 4.30 petang hingga 6,30 petang itu membabitkan enam kampung di sekitar Perak Tengah dan tujuh di Larut Matang Selama, dengan beberapa kejadian pokok tumbang turut dilaporkan.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, enam kampung terjejas di sekitar Perak Tengah adalah Kampung Seberang Perak, Kampung Pasir Jenderis, Kampung Kepala Pulau, Kampung Pulau Besar, Kampung Gajah dan Kampung Pasir Salak.
Sementara di Larut Matang Selama pula membabitkan Jalan Pengkalan Cemerlang, Taman Medan Pengkalan, Taman Damai, Pengkalan Air, Taman Pengkalan Cemerlang, Kampung Pak Darus, dan Kampung Batu 2½.
“Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jejawi di Teluk Intan bagi menempatkan penduduk terjejas terutama dari Perak tengah.
“Di Larut Matang Selama pula, PPS dibuka di Dewan Serbaguna Taman Kaya bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, dan pihak berkuasa masih menjalankan penilaian terhadap kerosakan yang berlaku,” katanya melalui kenyataan itu.
Dalam pada itu, 25 anggota Angkatan Pertahanan Awam digerakkan ke kawasan terbabit bagi kerja pembersihan pokok tumbang, selain memberikan bantuan kepada penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd